Melaka, 12 September 2024 – Pertandingan Pidato Rukun Negara yang dianjurkan oleh Kerajaan Melaka telah berjaya menjadi platform utama dalam memupuk semangat perpaduan di negara ini. Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy, mencadangkan agar acara tersebut diperluaskan ke negeri-negeri lain sebagai contoh dalam usaha memperkukuhkan perpaduan nasional.
Pertandingan ini, yang memasuki tahun kelima penganjurannya di Melaka, diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Pertandingan yang melibatkan enam kategori, termasuk Kategori Sekolah Rendah (Bergandingan), Sekolah Menengah (Bergandingan), Institusi Pengajian Tinggi, Awam, Bukan Melayu, dan Pendidikan Khas, telah menarik penyertaan dari seluruh negara. Selain bertujuan memperkukuhkan kesedaran nasionalisme, acara ini juga memberikan peluang kepada generasi muda untuk menunjukkan bakat mereka dalam pidato, mencerminkan semangat cintakan negara yang masih subur di kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan.
Dalam majlis tersebut, tahniah diucapkan kepada Ustaz Abdullah bin Long, pensyarah Pengajian Islam, yang meraih Johan Kategori Awam dan Johan Keseluruhan dalam Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024 Piala Pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka. Kejayaan ini tidak hanya mengharumkan nama MARA tetapi juga negeri Melaka. Warga KPMBM mengucapkan tahniah sekali lagi atas pencapaian yang membanggakan ini.
#MerakyatkanMARA
#MalaysiaMadani
#majlisamanahrakyat
#hiedumara
#tvetmara
#kolejprofesionalmara
#beeextraordinarykpmbm
Paparan terbaik: Semua jenis pelayar yang terkini dengan paparan 1280 x 1024.
Hakcipta Terpelihara 2023 © Kolej Profesional MARA Bandar Melaka