Melaka, 11 Ogos 2024 – Kolej Profesional MARA Bandar Penawar (KPMBP) terbukti unggul apabila diumumkan sebagai johan pertandingan Teater Muzikal Qasirah dalam Majlis Perasmian Penutupan Minds of Medina IPMA 2024 yang berlangsung sebentar tadi. Lebih manis lagi, KPMBP turut meraih 2 trofi bagi anugerah utama iaitu Pengarah Terbaik menerusi saudara Ahmad Adam Irfan Mohd Azam manakala saudara Muhammad Syafiq Hakimi Ismail pula merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.
Bertemakan tokoh Islam, karya Ibn Rushd yang dibawa oleh KPMBP berjaya menggamit hati barisan juri sekaligus meninggalkan KPM Seri Iskandar (KPMSI) sebagai Naib Johan dan Kolej MARA Banting (KMB) di tempat ketiga. Anugerah Khas Juri pula diraih oleh pasukan tuan rumah KPM Bandar Melaka (KPMBM) yang mana mereka turut memenangi kategori Sinografi Terbaik. Dengan kemenangan ini, KPMBP membawa pulang trofi beserta wang tunai RM1000. KPMSI turut membawa pulang trofi beserta wang tunai RM700 manakala KMB pula menerima wang tunai RM500 beserta trofi.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, YBhg. Encik Razlan bin Haji Samsuri dalam ucapannya berkata, program teater muzikal bercorak Islamik seumpama ini berjaya membuka mata semua pihak berkenaan kehebatan tokoh-tokoh Islam yang sejak dahulu sering dibayangi oleh ketokohan ahli akademik dan falsafah barat. Beliau juga berharap agar para pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) akan terus berkarya serta mengetengahkan lebih ramai lagi tokoh yang telah berjaya mengangkat martabat Islam sejak dahulu sehingga kini. Pada majlis tersebut, Encik Razlan turut mengajak hadirin agar menyumbang, jika tidak banyak pun, dapatlah sedikit untuk saudara kita di Palestin.
Sebagai rekod, program Minds of Medina IPMA 2024 yang dahulunya dikenali sebagai Jiil Madani IPMA ini telah mendapat kerjasama daripada rakan strategik seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sembilan dan Melaka serta MUAFAKAT KPMBM. Turut hadir, YBhg. Puan Siti Aminah Abdul Kadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA, Encik Shahrulazli Jaafar, Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan MARA Melaka, Puan Zarina binti Ahmad, Pengarah KPMBM, Puan Marlina Omar, YDP MUAFAKAT KPMBM serta wakil daripada JKKN dan YADIM.
Syabas & tahniah diucapkan kepada kontinjen Minds of Medina KPM Bandar Melaka atas kejayaan meraih dua anugerah (Anugerah Khas Juri dan Sinografi Terbaik) dalam Pertandingan Teater Muzikal Qasirah sempena Minds of Medina IPMA. Pementasan hebat bertajuk “Al-Razi” itu telah disertai oleh 25 orang pelajar KPM Bandar Melaka bertempat di Auditorium Panggung Seri, Kompleks JKKN Negeri Melaka.
Sekalung penghargaan buat semua jurulatih yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah KPMBM kerana telah memberikan komitmen yang tinggi demi memastikan pementasan “Al-Razi” mendapat perhatian juri. Para pensyarah tersebut ialah Puan Jariah binti Jaafar, Puan Nurul Ain binti Khirul Salleh, Encik Nasiruddin bin Mohd Fazali, Cik Nur Syamimi binti Mohd Sani dan Ustaz Khairul Anwar bin Abdul Manaf.
Semoga kejayaan ini menyuntik semangat para pelajar dan pensyarah KPM Bandar Melaka untuk melakar kejayaan yang lebih besar pada tahun hadapan. Tahniah!
#MerakyatkanMARA
#MalaysiaMadani
#majlisamanahrakyat
#hiedumara
#tvetmara
#kolejprofesionalmara
#beeextraordinarykpmbm
Paparan terbaik: Semua jenis pelayar yang terkini dengan paparan 1280 x 1024.
Hakcipta Terpelihara 2023 © Kolej Profesional MARA Bandar Melaka